... Nur Hidayah binti Jasrel...

Thursday, 30 May 2013

Sebelah Sayap


bismillahirahmanirrahim ...

byk sgt3 moral of the story yg boleh saya ,awak dan kitaaaa semua blh amek dr simple video from one of my person that im very respect =)

enjoy it =D

Wednesday, 29 May 2013

Alhamdulillah , didetikkan hatiku untuk menulis artikel tentang maruah seorang muslimah .Muslimah, kamu itu cantik sebenarnya. Walaupun kau tutup seluruh auratmu, sesungguhnya yang tertutup itu lebih terjaga kualitinya daripada yang terdedah.
Di sini, inginku coretkan tentang maruah. Tidak dapat dinafikan lagi, setiap muslimah yang sedang ataupun telah meniti alam remajanya pernah mengalami satu situasi ataupun ujian wajib bagi dirinya iaitu hatinya akan jatuh hati dengan seorang Adam .
Wahai muslimah sahabatku, mari kita faham perspektif pemikiran lelaki terhadap wanita. Sepertimana yang kita tahu, lelaki mudah meluahkan kata-kata manis untuk mendapatkan madu cinta daripada seorang Hawa . Madu cinta itu akan diteguk untuk menghilangkan dahaga yang tidak berpanjangan.Sepertimana lebah, dia tidak akan hinggap pada bunga yang telah diambil madunya. Dia akan pergi ke bunga lain untuk mendapatkan madu.  Itu gambaranku. Dayah yakin, ramai sahabat dayah yang faham apa yang dayah gambarkan itu.
Madu itu maruah seoarang wanita. Yang sememangnya maruah wanita muslimah itu sangatlah cantik. Jangan kau berikan pada lebah-lebah yang tidak layak kau berikan madumu itu. Tapi, bagaimana kalau sudah terlanjur cinta ? Baiklah, dayah sangat faham situasi ini kerana dayah sendiri pernah mengalami pengalaman begini. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah Taala dan bimbingan emak dayah serta sahabat-sahabat, dayah sudah nampak jalan penyelesaian.
Begini sahabatku sayang, masih belum terlambat untuk kamu berubah niat. dayah faham, perasaan cinta itu satu fitrah. Dayah tidak dapat menafikan fitrah tersebut. Tetapi, cuba kita halakan fitrah cinta itu kepada Allah. Mengapa tidak ? Lihat di sekeliling kita, apa yang Allah Taala berikan kepada kita ? Macam-macam nikmat dan pinjaman-Nya kepada kita yang tidak terhitung. Lihat pula pada ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita. Sesungguhnya, Allah Taala menguji setiap hamba-Nya berdasarkan apa yang hamba-Nya mampu sahaja. Itu merupakan salah satu daripada tanda cinta Allah kepada hamba-Nya tetapi ramai hamba-Nya yang tidak menyedari akan hakikat itu .
AKU NAK JADI BAIK !

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
<3 BERSYUKUR DENGAN KEKURANGAN <3

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, 7)
Kebiasaannya, bila kita dikurniakan nikmat, rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan; apa yang kita akan lakukan?
BERSYUKUR!
Ya, itulah yang seharusnya.
Tapi... bagaimana pula kalau kita di berikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang bersyukur?
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur bila ditimpan ujian. Mungkin dalam 100% hanya  5% yang bersyukur dan berlapang dada bila ditimpa ujian.
Sedarkah kita... beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah SWT:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (Surah Al-Baqarah, 177)
Saya pasti kalian mesti pernah dengar kata-kata ini:
"After every storm there is a rainbow."
Selepas setiap guruh, adanya pelangi.
Walau apa juga ujian yang diturunkan, kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Allah.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat, asalkan hidup mendapat berkat.
Fikrkan setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna.
Ingat bahawa kekurangan itu hebat. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan keberkatan tertentu.
Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri (saling lengkap melengkapi). Mereka yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan lain-lain.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita hina kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah, setiap kekurangan yang kita miliki merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Renung-renungkan.
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaan-Nya; kebaikan mahupun keburukan.

"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"
"Haa? Kenapa?"
"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.
Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet! Hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.

Mengapa Mesti Bersangka Baik?



Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.
Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 
Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."
Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.
Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.
Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Bismillahirrahmanirrahim ...
Berjalanlah dan usah sesekali berhenti kerana anggapan manusia itu tidak mampu mengubah cinta Allah kepada kita. Dan sesungguhnya hal tepatnya jodoh itu adalah kerana keindahan waktu dan sedianya kita.
"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan." -Junaid Al-Baghdadi
Hujan itu menderas turunnya. Membasuh hati yang hampa. Mengisilah hati yang penuh berharap. Sujudnya tanpa ingkar. Derainya tak mahu dihenti. Semahunya, mungkin biar ia tamat di sejadah cinta seorang hamba. Rasa kecilnya, tak mampu untuk dihuraikan. Rasa kasihnya tak mampu dijelmakan oleh perilaku terindah. Hamba itu mengisi pilu dalam senyumnya. Pada malam yang terindah, harapnya terukir secebis taqwa.
Taqwa itu yang sering dipinta dalam hari-hari cinta. Lebam matanya sentiasa dikaburkan oleh senyum dan gelak persisi sufi di zaman Nursi dan Rumi. Biar kalian tidak mampu menjiwai. Hamba itu sentiasa menanti malam. Yang Tuhan telah janjikan. Berjalannya dalam hidup yang sentiasa dinikmati. Hanya pinta cinta dari Tuhannya.
Kerana sang kumbang itu, waham benar perihal cinta itu bersifat mua'llaq. Semoga potensi kan sentiasa berkembang. Semoga nawaitu sentiasakan bercahaya. Menanti yang tertulis. Tepatnya kerana kebersediaannya menjadikan hadirnya sebagai tulisan terindah.
Tuhan itu menjaga apa yang kita berusaha untuk menjaganya. Dan Dia temukan dengan mereka yang sentiasa yakin dan bersangka baik dengannya. Tentunya yang terpelihara itu terindah. Tentunya juga yang biasa itu terindah. Mungkin lebih terindah saat taubatnya memekar, tika setiap saatnya bernyawa. Tuhan yang menerima keindahan jiwa yang ingin memperbaiki diri. Tuhan yang sentiasa senyum pada kalimah cinta yang melebihkan-Nya berbanding dunia semata.
Agungnya cinta yang bernawaitukan Penguasa Cinta. Pemilik haqiqi manusia yang ingin dilamunkan cinta. Kerna waham yang jelas bisa merungkaikan kefasikan cinta. Bahwa cinta itu kan melenyap bersama lenyapnya sebab untuk bercinta. Qayyim yang bijaksana telah berkata. Dan itulah realiti cinta.
Berusahalah selagi termampu. Dan lupuskanlah segala cerita yang singgah dalam hidupmu. Kerna cinta kurniaan Allah itu menyentuhnya lebih terasa. Andai kenangan itu mekar hanya sebagai duri yang berada dalam jalanmu menuju ke Sana. Yang menjaga itu sungguh kuat. Yang menjaga itu seorang mukmin. Bukan lagi seorang muslim. Yang tenggelam timbulnya akhirnya bersifat sama terhadap ikhtilat sekeliling yang menyapa.
Dan malam itu larut dengan penuh damai. Maka nokhtah terukir. Tanda cinta agung memeluk erat jiwa hamba. Yang setia menanti cinta yang terpelihara. Sulitnya menjaga. Enaknya memendam air mata.
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)." - Israiliyat, Allah kepada Isa a.s ...

Wallhualam ...