Alhamdulillah , didetikkan hatiku untuk menulis artikel tentang maruah seorang muslimah .Muslimah, kamu itu cantik sebenarnya. Walaupun kau tutup seluruh auratmu, sesungguhnya yang tertutup itu lebih terjaga kualitinya daripada yang terdedah.
Di sini, inginku coretkan tentang maruah. Tidak dapat dinafikan lagi, setiap muslimah yang sedang ataupun telah meniti alam remajanya pernah mengalami satu situasi ataupun ujian wajib bagi dirinya iaitu hatinya akan jatuh hati dengan seorang Adam .
Wahai muslimah sahabatku, mari kita faham perspektif pemikiran lelaki terhadap wanita. Sepertimana yang kita tahu, lelaki mudah meluahkan kata-kata manis untuk mendapatkan madu cinta daripada seorang Hawa . Madu cinta itu akan diteguk untuk menghilangkan dahaga yang tidak berpanjangan.Sepertimana lebah, dia tidak akan hinggap pada bunga yang telah diambil madunya. Dia akan pergi ke bunga lain untuk mendapatkan madu. Itu gambaranku. Dayah yakin, ramai sahabat dayah yang faham apa yang dayah gambarkan itu.
Madu itu maruah seoarang wanita. Yang sememangnya maruah wanita muslimah itu sangatlah cantik. Jangan kau berikan pada lebah-lebah yang tidak layak kau berikan madumu itu. Tapi, bagaimana kalau sudah terlanjur cinta ? Baiklah, dayah sangat faham situasi ini kerana dayah sendiri pernah mengalami pengalaman begini. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah Taala dan bimbingan emak dayah serta sahabat-sahabat, dayah sudah nampak jalan penyelesaian.
Begini sahabatku sayang, masih belum terlambat untuk kamu berubah niat. dayah faham, perasaan cinta itu satu fitrah. Dayah tidak dapat menafikan fitrah tersebut. Tetapi, cuba kita halakan fitrah cinta itu kepada Allah. Mengapa tidak ? Lihat di sekeliling kita, apa yang Allah Taala berikan kepada kita ? Macam-macam nikmat dan pinjaman-Nya kepada kita yang tidak terhitung. Lihat pula pada ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita. Sesungguhnya, Allah Taala menguji setiap hamba-Nya berdasarkan apa yang hamba-Nya mampu sahaja. Itu merupakan salah satu daripada tanda cinta Allah kepada hamba-Nya tetapi ramai hamba-Nya yang tidak menyedari akan hakikat itu .

No comments:
Post a Comment